TPM, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah berjanji tidak akan menaikkan harga beras tempatan memandangkan rakyat sangat sensitif dengan kenaikan harga bahan makanan itu. (Utusan Malaysia 9 Julai 2007), tetapi 2 hari lepas harga beras Super Special Tempatan yang biasa teman beli telah dinaikkan dua kali berturut-turut sebanyak RM5 setiap kali dalam masa 1 minggu. Pada masa yang sama teman bersama isteri membeli barangan keperluan lain di pasar besar terkenal tersebut, maka tak henti-hentilah isteri teman merugut akan kenaikan harga hampir semua barangan keperluan harian tersebut.
Teman nak ingatkan, janganlah Kerajaan BN hanya memberikan janji manis untuk mengawal kenaikan ini, tapi pada hakikatnya kenaikan barangan itu jelas dari sehari ke sehari. Peruntukan berbillion ringgit yang dihebohkan baru-baru ini masih gagal membendung kenaikan harga barangan keperluan rakyat. Kerajaan cuma mengutarakan pelan tindakan, tetapi pada hakikatnya samada tidak pernah dilaksanakan, sudah lewat untuk dilaksanakan atau terlalu lambat dilaksanakan. Yang jelas kesan buruknya akan dirasakan oleh rakyat jelata jua.

